Saturday, December 10, 2011

Kaya berpada dengan Qanaah

     Renungi dialog antara Rasulullah s.a.w dengan Abu Zar ini. Rasulullah berkata kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar, adakah engkau memandang bahawa banyaknya harta itu kaya?"
     "Betul", jawab Abu Zar.
Baginda bertanya lagi: "Adakah engkau memandang bahawa sedikitnya harta itu bererti fakir?"
     "Betul", Abu Zar menjawab dengan jawapan yang serupa.
Lantas Baginda pun bersabda yang bermaksud: 
"Sesungguhnya yang dinamakan kaya (ghani) kayanya hati (hati yang selalu berasa cukup). sedangkan fakir adalah fakirnya hati (hati yang selalu berasa tidak puas)". (Riwayat Ibnu Hibban).
      Hati yang berasa puas dengan apa yang ada ialah hati yang qanaah. Qanaah bukan bererti kita malas atau acuh tidak acuh dalam mencari rezeki, tetapi berasa cukup terhadap apa-apa jua hasilnya setelah berusaha sedaya upaya. Hati mereka tidak tercalarpun oleh rasa bimbang, putus asa, kecewa dan marah sekalipun rezeki yang mereka miliki tidak seberapa. Inilah yang dikatakan qanaah.Dan itulah kaya yang sebenarnya kerana kualiti jiwa tidak akan tergugat oleh kuantiti harta.
       Rasulullah s.a.w telah menggambarkan keadaan orang yang dikurniakan sifat qanaah ini melalui sabdanya  yang bermaksud: "sesiapa daripada kamu yang berasa aman di rumahnya, sihat tubuh badannya dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan telah dikumpulkan untuknya dunia beserta isinya." (Riwayat al-Tirmizi)
        Jika inilah syarat dan uquran qanaah , bukankah ramai orang mampu memenuhinya? Namun sayang, sesetengah orang lebih daripada syarat itu telah pun dapat dipenuhi, namun jiwa masih tidak tenang. Mengapa ada sebahagian orang mampu berasa qanaah dan sebahagiannya tidak walaupun harta yang mereka miliki sama? mengapa?
        Ini kerana qanaah bukan soal luaran, tetapi soal dalaman. Ia bergantung kepada soal Iman; sejauh mana kita percaya  dan yakin soal rezeki daripada Allah dan cara Allah memberikannya kepada manusia.
        Rasulullah s.w.a bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Yang Maha Luas lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hamba-Nya dengan rezeki yang telah diberikan kepadanya. Sesiapa yang reda dengan pembahagian Allah Azzawajalla, maka Allah Akan memberi keberkatan dan melapangkan rezeki tersebut untuknya. Dan sesiapa yang tidak reda (tida puas), nescaya rezeki tidak akan diberi keberkatan." (Riwayat Ahmad)


Solusi isu #37_ m/s 18-19

No comments:

Post a Comment